Wednesday 28 May 2014

Memanfaatkan Musim Cuti Persekolahan - Peranan Ibubapa


Ya... Cuti sekolah penggal pertama persekolahan 2014 sudah bermula! Namun, janganlah hendaknya murid-murid semua hanya tahu seronok sahaja. Marilah kita sama-sama memanfaatkannya dengan program dan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Bacalah petikan artikel di bawah ini buat panduan kita bersama.

Musim cuti sekolah sudah tiba, yang paling seronok ialah anak-anak kita. Cuti panjang hadir selepas anak-anak bertungkus lumus menghadapi sesi pengajian, peperiksaan dan ko-kurikulum yang diwajibkan. Pastinya ketibaan cuti memang dinanti-nantikan. Inilah masa untuk melarikan diri buat sementara dari alam persekolahan.

Sebenarnya sebagai ibu bapa, seharusnya kita mengajar anak-anak kita supaya menggunakan masa dengan bijak. Masa cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakankan terus pelajaran. Sebagai ibu bapa perlulah mengambil peluang ini untuk mengatur program-program yang bermanfaat buat anak-anak.

Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak pemerintah, pihak sekolah dan ibu bapa mestilah saling berkerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

            Percayalah bahawa bimbingan ibu bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak, jati diri dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat.

            Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal menjadi petunjuk jalan teladan yang baik. Mengikut kajian, anak-anak dalam usia sebegini sangat mudah terpengaruh untuk meniru dan mengikut apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar.

            Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan pelbagai gejala seperti rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini ialah apabila tercabutnya akhlak mulia anak-anak yang memudahkan mereka terdedah dalam krisis gejala sosial.

Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:

Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:

“Latihlah dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur sepuluh tahun jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka.”

Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari.

Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin.

Waktu makan juga boleh dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak agar berdisiplin, beradab sopan dan berakhlak mulia seperti membaca doa sebelum makan, memberi sebahagian lauk kepada adik beradik yang makan bersama, mengambil makanan sedikit demi sedikit, mengelakkan sifat tamak dan menunggu ibubapa sebelum makan.

Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran.

Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak-anak.

Keenam: Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

Tanggungjawab ibubapa juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Sebagai ibu-bapa kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak, kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana.

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa kepada kedua cucunya Hasan dan Husin yang berbunyi:

Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata yang berniat jahat.

Sebagai ibu bapa atau penjaga kita hendaklah bertanggungjawab dan amanah bukan hanya setakat memenuhi keperluan fizikal dan pendidikan anak-anak tetapi yang lebih besar dan utama ialah menanamkan benih-benih keimanan kepada mereka selain menjaga dan mengawal mereka dengan baik.

Tanpa kawalan anak-anak mudah terjebak dengan aktiviti sosial yang merosakkan. Kita hendaklah mengambil contoh dan pengajaran yang diceritakan Allah SWT bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 17 dan 18:

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya."Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Bayangkanlah.jika anak-anak berkenaan menjadi orang yang soleh dan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kedua ibu bapanya akan mendapat nikmat di dunia dan di akhirat nanti. Sebaliknya, jika anak-anak yang bergelumang dengan akhlak liar dan melakukan maksiat kepada Allah SWT sudah pasti ianya akan menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Anak-anak yang diterapkan dengan didikan agama yang sempurna sejak dari kecil hinggalah mereka dewasa akan dapat menyelamatkan mereka dari terus lalai dan alpa dengan kehidupan di dunia ini.

Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka. Manfaatkanlah musim cuti persekolahan ini dengan perkara-perkara yang berfaedah demi masa depan anak anak.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”

Artikel ini dipetik daripada laman : 
http://iniperspektifku.blogspot.com/2013/11/memanfaatkan-musim-cuti-persekolahan.html